Tuesday, December 29, 2009

Umrah 1




Kami tiba di hotel lebih kurang jam 9 pagi. Setiba di hotel, kami disambut oleh Azman, pengurus pakej haji yang kami ikuti. Setelah membersihkan diri, kami dibawa ke dewan makan untuk sarapan pagi. Hidangan pagi itu, nasi lemak, sambal tumis ikan bilis dan ayam goreng. Kami makan dengan berselera sekali sebab lapar setelah terkandas agak lama di Jeddah. Again, satu perkongsian, ramai yang berpesan menyuruh kami membawa serba sedikit bekalan makanan dari Malaysia seperti serunding dan Maggi. Aku pun tak faham kenapa sebab tujuan perjalanan haji bukan untuk makan. Alhamdullillah, kami tidak mempunyai masalah dengan makanan. Well, mungkin disebabkan pakej kami menyediakan makanan yang memang sedap. Lagipun, makanan pun banyak dijual di kedai-kedai di sana....Yalah...ni pun nikmat Allah. Ada juga jemaah yang sekumpulan dengan kami, disajikan makanan yang sama tapi tetap tak lalu makan. Aku rasa yang penting kat sana niat kita...makan ajalah apa yang disajikan. Mana nak cari nasi goreng ikan masin atau pulut kuning dengan sambal udang petai kat sana....Berdoa pada Allah agar kita diberikan selera makan supaya kita bertenaga untuk beribadat.

Selesai bersarapan, aku dan suami terus ke Masjidil Haram. Oleh kerana kami telah biasa, kami pergi sendiri tanpa ditemani wakil pakej. Walaupun ini kali ketiga aku mengunjungi Baitullah, perasaan terharu ketika pertama kali menatap Baitullah masih aku rasakan. Aku membaca doa yang dipesan oleh mak ketika mula-mula melihat Kaabah.

Perjalanan Haji 1



Kami bertolak ke Tanah Suci pada hari Jumaat, 28 November 2008, dengan penerbangan Saudi Airlines, jam 7.55 malam waktu Malaysia. Kami pulang ke Butterworth pada hari Selasa sebelumnya untuk menghantar anak-anak ke Butterworth. Kami merasakan lebih mudah begitu, memastikan mereka telah berada dengan mak di Butterworth sebelum berangkat. Kami bertolak dari rumah ke KLIA selepas solat Jumaat, dihantar oleh Pani dan Ila.

Jemaah dalam kumpulan kami hanya 4 orang; kami suami isteri serta Kak Rubi dan Farhan, dari Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Ini merupakan perjalanan haji kedua buat mereka. Turut serta dalam penerbangan yang sama dan sama-sama menunggu beg adalah Ustaz Hussein Yee dan keluarganya. Alhamdullillah, penerbangan ke Jeddah lancar sekali. Sepanjang perjalanan, aku terus memohon supaya dipermudahkan segala urusan perjalanan kami dari mula sehingga akhir. Kami tiba di Jeddah pada pukul 4 pagi waktu Malaysia (lebih kurang 11.50 malam waktu Arab Saudi). Oleh kerana kami menggunakan penerbangan komersial dan bukan penerbangan haji, kami seterusnya menaiki bas untuk ke terminal haji Jeddah.




Namun, beg kami tiba agak lewat kerana beg-beg dibawa ke terminal antarabangsa Jeddah walaupun telah diletakkan tag "haji". Aku menganggap ini sebagai dugaan awal kami dalam perjalanan haji. Walaupun tiada masalah imigresen, kami terpaksa menunggu beg di ruang menunggu sehingga jam 5.30 pagi. Aku masih ingat, kami masing-masing sibuk memerhati ke arah platform beg, menunggu kalau-kalau beg telah tiba. Sepanjang menunggu, aku terpegun melihat ramainya jemaah haji yang tiba. Hampir 15 minit sekali, aku melihat ada sahaja kumpulan jemaah haji yang mendaftar masuk menerusi imigresen. Subhanallah.....betapa manusia berlumba-lumba untuk mengerjakan rukun islam kelima ini.

Sebenarnya, dugaan ini bukanlah besar. Suami aku, mengingatkan aku untuk menganggap ini sebagai ujian pertama dan jangan merungut. Tambahan pula kami telah pun berniat ihram dari dalam kapal terbang di Qarnul Manazil. Selain dari agak lapar dan dahaga sebab kami tidak dibenarkan keluar untuk membeli minuman atau makanan, aku rasa yang lebih mencabar adalah disebabkan ketidaksabaran kami untuk sampai ke kota Mekah. Aku sudah seperti terbayang-bayang Baitullah di hadapanku. Menurut perkiraan awal kami, kami sempat menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram. Sesungguhnya, kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan.

Alhamdullilah, beg kami tiba sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Selesai urusan beg dan imigresen, kami menunaikan solat Subuh di ruang rehat yang dikhaskan untuk jemaah haji Malaysia. Jemaah Malaysia mempunyai ruang menunggu yang sangat luas di Lapangan Terbang Haji Jedah, berbanding jemaah dari negara lain. Sayangnya, dalam kesibukan mencari wakil pakej dan sebagainya, kami terlupa untuk merakamkan sebarang senario di Lapangan Terbang Haji ini. Seperkara lagi yang aku perhatikan, jemaah Malayisa mendapat layanan yang jauh lebih baik berbanding jemaah negara lain. Aku terpandang jemaah dari negara Timur Tengah yang isi beg mereka dipunggah satu persatu oleh pihak imigresen.
Sekadar untuk berkongsi pengalaman, penerbangan yang kami naiki merupakan penerbangan Jakarta-Kuala Lumpur-Jeddah. Aku diberitahu kemudiannya jemaah-jemaah Indonesia tersebut merupakan mereka yang mengikuti pakej haji mewah. Yang menghairankan aku, mereka tidak berniat ihram di atas kapal terbang apabila melewati kawasan miqat, sebab jemaah lelakinya tidak mengenakan pakaian ihram sebagaimana jemaah Malaysia. Mereka hanya mengenakan pakaian ihram ketika berada di lapangan terbang. Rupanya itu dibolehkan menurut syariat mereka. Waalahualam....
Kami seterusnya menaiki bas ke Mekah. Oleh kerana kami hanya berempat, kami menaiki bas bersama-sama jemaah Indonesia. Perjalanan memakan masa kira-kira 2 jam, termasuk lebih kurang setengah jam di check-point,(jemaah haji diberikan sebotol air zam-zam). Apa yang mengkagumkan aku adalah jemaah Indonesia dalam bas tersebut bertalbiah dan berselawat di sepanjang perjalanan tanpa henti, dengan diketuai oleh seorang wanita. Betapa bersemangatnya mereka memanjatkan kesyukuran dan memuji Allah subhanawataala.
Kami diturunkan di hadapan sebuah hotel di mana wakil pakej sedang menunggu untuk membawa kami ke hotel penginapan kami. Disebabkan kami cuma berempat, kami dibawa menaiki kereta. Sebelum berlepas dari Kuala Lumpur, kami diberitahu kami akan menginap di Rehab Ferdaus. Sepanjang perjalanan, aku melihat jemaah-jemaah haji memenuhi kaki-kaki lima jalan walaupun masih jauh daripada Masjidil Haram. Aku teringat cerita rakan-rakan tahun ini ramai jemaah haji yang terpaksa menginap jauh dari Masjid disebabkan banyak hotel-hotel berdekatan masjid dirobohkan untuk tujuan pembinaan kompleks penginapan baru.
Aku masih teringat pada awalnya, kereta yang membawa kami melewati kawasan hadapan Masjidil Haram, kemudiannya membawa kami semakin jauh ke hadapan. Aku mencari-cari Hotel Rehab Ferdaus sebagaimana yang diberitahu oleh Azlan, kawan suamiku yang juga merupakan pengurus syarikat yang mengendalikan pakej haji kami. Namun kereta tersebut terus saja mara ke hadapan. Kata Kak Rubi, hei, we are moving farther away from Haram...Mana ni hotel kita? Pemandu kami memberitahu dia sebenarnya akan membuat pusingan U di hadapan. Hotel kami di belakang sana.



Kami amat bersyukur apabila mendapati hotel kami, Dar Ferdaus cuma 150meter daripada Masjidil Haram. Hotel kami terletak di sebelah hentian teksi di hadapan Masjidil Haram. SubhanaAllah. Kami juga diberitahu hotel ini baru sahaja diubahsuai ramadhan yang lalu. Jauh di sudut hati, aku amat terharu dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kami. Dalam 5 juta jemaah haji, aku dan suami, hambaNya yang kerdil ini diberikan tempat yang amat selesa dan dekat dengan Masjid. Aku berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini, cuba untuk menghabiskan sebanyak mungkin masa di masjid. Apalagi bila aku mendengar ada jemaah Indonesia yang tempat tinggalnya berkilometer dari masjid. Demikian juga dengan jemaah dari Malaysia sendiri yang sebahagiannya terpaksa menaiki teksi untuk ke masjid. Aku memanjatkan doa kepada Allah agar aku diberikan nikmat sihat dan kuat untuk menunaikan ibadah dalam Masjidil Haram, di hadapan Baitullah. Aku sedar sesungguhnya keselesaan tempat tinggal dan jarak yang dekat bukan jaminan untuk menunaikan ibadah dengan sempurna. Itupun hanya kelengkapan material yang tidak menjanjikan apa-apa. Ramai jemaah yang tinggal lebih jauh dalam keadaan yang lebih daif, lebih sempurna ibadahnya di Masjidil Haram. Lebih banyak mereka menghabiskan masa di Masjidil Haram. Sebenarnya, keupayaan melakukan ibadah dalam Masjidil Haram juga merupakan satu nikmat kurniaan Allah semata-mata.

Friday, December 25, 2009

Persiapan Perjalanan Haji



Disebabkan kami hanya mendapat tahu dapat menunaikan haji pada tahun 2008 lebih kurang 2 minggu sebelum bertolak, persiapan kami memang ala kadar. Kami memutuskan untuk membawa apa yang sempat, selebihnya beli di sana. Kami sendiri pun tidak merasakan bekalan material sebagai keperluan yang mustahak. Memadai dengan apa yang ada...tak perlu berpasang-pasang telekung baru, tak semestinya kena bawa jubah dan ketayap baru dan sebagainya.

Yang lebih merisaukan kami adalah persiapan mental. Kami tidak sempat mengikuti mana-mana kursus haji secara formal. Dalam kesyukuran yang teramat sangat kerana Allah memakbulkan doa kami suami isteri untuk menunaikan haji musim itu, terselit kebimbangan yang amat sangat tentang "kelayakan" kami secara rohani untuk menunaikan rukun islam kelima ini. Cukupkah amalan dan ilmu yang kami ada untuk dibawa sebagai bekalan dalam perjalanan haji nanti. Tambahan pula, kami juga banyak disogokkan dengan cerita-cerita yang menakutkan yang berlaku di Tanah Suci. Kebanyakan jemaah haji pulang dengan kisah-kisah dan pengalaman negatif di Tanah Suci......sesaknya masjid, susahnya nak jalan, ramainya orang, penatnya perjalanan ke Arafah, dugaannya tinggal di Mina dan macam-macam lagi. Malah ada juga yang seperti memberi amaran tentang bagaimana sesaknya Mekah musim haji kali ini berikutan proses ubahsuai kawasan sekeliling Masjidil Haram. Aku sekadar mampu membulatkan tekad yang kalaupun perjalanan haji ini ditakdirkan menjadi satu episod yang paling sukar dalam hidup aku, aku redha kerana sesungguhnya tujuan aku ke sana pun bukan untuk bersenang lenang. Aku benar-benar mahu menunaikan ibadat kerana Allah. Jadi, apapun dugaannya, aku akan tempuhi. Dan aku yakin Allah tidak akan menguji hambaNya lebih dari yang termampu dipikul oleh seseorang hamba.



Sesungguhnya Allah Maha Besar. Kami berdoa kepada Allah semoga diberikan petunjuk. Hidayah Allah datang dalam pelbagai cara. Ketua jabatan pada ketika itu, Dr Radiah (thanks very much Dr) memberikan aku buku Travelog Haji. Terima kasih juga kepada Professor Kamil yang sudi berkongsi pengalaman haji beliau. Sesungguhnya buku tersebut memberikan banyak pengajaran bagi kami suami isteri. Aku menghabiskan buku tersebut dalam masa beberapa jam sahaja kerana isinya yang sangat bermakna dan diolah dalam bahasa yang menarik.

Pengajaran yang aku dapat dari buku tersebut: Allah Maha Berkuasa. Allah Maha Besar. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan. Mohon sahaja kepada Allah semoga diberiNya petunjuk dan dipermudahkan segala urusan. Persiapan dalam tempoh yang lama serta bekalan material yang lengkap bukan syarat untuk mendapat perjalanan haji yang mudah. Satu lagi pengajaran yang aku peroleh dari buku yang sama adalah setiap jemaah haji yang ke Tanah Suci adalah tetamu Allah. Sesungguhnya Allah Maha Merancang dan Maha Mengetahui. Kalau Allah dah jemput sebagai tetamuNya, bererti Allah telah mengkhususkan tempat yang secukupnya untuk setiap tetamu. Ya tak ya jugak....


Sara Aiesya, 2 tahun

Anak-anak? Sudah tentu kami bimbang tentang anak-anak. Harriz yang sulung baru berusia 9 tahun, Ezham 7 tahun dan Sara belum pun 2 tahun. Walaupun kami akan meninggalkan mereka dalam jagaan kedua-dua mak di Butterworth, namun terfikir juga tentang bagaimana mereka tanpa kami selama lebih sebulan. Sekali lagi, aku diberikan petunjuk oleh Allah. Semasa menyelak-nyelak buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam (Fathi Yakin), aku terjumpa sepotong ayat yang lebih kurang menerangkan tentang Allah memberi amaran supaya jangan menjadikan harta atau anak sebagai halangan untuk beribadat. SubhanaAllah....aku pasrah. Aku yakin Allah adalah Pemelihara dan Pelindung yang terbaik. Alhamdullillah...ingatan sebegini benar-benar menenangkan aku.

Kami terus memanjatkan doa kepada Allah supaya urusan kami dipermudahkan. Seterusnya yang lebih utama supaya kami terus diberikan ilmu untuk kami bawa sebagai bekal ke Tanah Suci bagi membolehkan kami menunaikan ibadat sesempurna mungkin. Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Satu-satunya kursus haji yang kami hadiri 5 hari sebelum berlepas ke Tanah Suci memberikan kami begitu banyak ilmu dan maklumat yang sangat berguna. Kursus intensif yang disediakan oleh pihak syarikat dikemudikan oleh seorang ustaz dari Kalimantan. Ringkas dan padat.

Setelah menerangkan dengan jelas tentang tatacara perjalanan ibadat haji, aku masih ingat kata ustaz ini dengan penuh makna, "Maka selesailah haji.....mudah, tapi nasib kita di sana masing-masing tak sama ya, ibu-ibu, bapa-bapa". Tersirap darah aku mendengar ungkapan ustaz. Namun nasihat ustaz seterusnya tentang apa yang perlu dilakukan yang menarik perhatian aku. "Banyakkan solat taubat", kata ustaz. "Banyakkan solat hajat supaya Allah memudahkan semuanya", kata ustaz lagi. Lalu itu yang aku lakukan sebanyak yang termampu, dari sini sehinggalah kami bertolak ke Arafah. Solat taubat mohon diampunkan segala dosa dan solat hajat mohon dipermudahkan segala urusan. Aku yakin Allah Maha Pengampun dan Allah yang Maha Berkuasa atas segalanya.

Dalam sessi kuliah itu juga, ustaz telah menggariskan pengisian waktu sepanjang berada di Mekah. Bermula dengan sunat wuduk (inilah pertama kali aku tahu tentang adanya sunat wuduk), sembahyang sunat dhuha dan sunat-sunat rawatib yang lain. Ustaz menasihatkan kami supaya mengambil peluang untuk khatam al-quran di Mekkah dan melakukan puasa sunat.

Alhamdulillah, dengan petunjukMu ya Allah, selesai kursus kami seakan tidak sabar untuk memulakan perjalanan haji. Walaupun masih terselit kebimbangan sebagai hamba kerdil yang akan ke Tanah Suci namun kami berazam untuk menunaikan rukun islam kelima sesempurna mungkin.

Tentang persiapan material, kami memilih untuk travel light. Lagipun, kami tidak mempunyai masa yang banyak. Yang pasti, setelah kembali kami faham yang sebenarnya jemaah haji Malaysia persiapannya terlalu komplikated. Semua orang berpesan suruh bawa itu dan ini. Barang keperluan sebenarnya tidaklah begitu banyak.

Senarai barangan yang kami bawa, secara ringkasnya:
  • Ubat-ubatan:
    • ubat sakit tekak (Fisherman's Friends)
    • pil chiki tek aun
    • satu set ubat sakit selsema, demam dsb (ini disebabkan kami pergi bukan di bawah Tabung Haji. Jadi kami tiada kemudahan perubatan. So kami bawa ubat-ubatan ni.
    • krim untuk kaki kering
    • lip balm
    • vitamin C
    • note: semua ubat ni available kat Farmasi di sana. Cuma mahal sikit dan kalau musim haji, orang sesak dalam mana-mana kedai, especially yang dekat dengan Masjidil Haram.
  • Pakaian Wanita:
    • telekung - 4 helai
    • jubah seluar - 3 pasang
    • baju harian - 2 helai
    • seluar dalam pakai buang (untuk kegunaan semasa wukuf di Arafah.
    • setokin - 4 pasang
    • sepasang kasut ikat - untuk digunakan semasa melontar
  • Pakaian Lelaki:
    • kain pelekat
    • jubah (sebab my hubby gunakan jubah untuk ke masjid)
    • baju Melayu
    • tali pinggang ihram
    • kain ihram - 2 pasang
    • sandal yang terbuka di depan - untuk kegunaan dalam ihram
  • Beg Pack - seorang satu. Untuk memudahkan pergerakan, kami memilih untuk membawa bag pack untuk kegunaan ke Arafah dan Mina.
  • Beg kasut dan beg isi batu untuk melontar. Well, everybody di Malaysia sibuk bertanya tentang karung kasut dan karung batu. Sebenarnya, tak wajib pun. Jemaah haji negara lain rileks aja...isi jelah kasut dalam mana-mana beg plastik. Lagipun dalam musim haji, kita kena bawa kasut sama dengan kita. Tak boleh tinggal kat rak kat luar tu. Ada orang isi batu untuk melontar dalam saku jaket aja. Simple...
  • Untuk kegunaan di Arafah dan Mina:
    • Disebabkan pakej kami tidak bermalam di Mina, kami tidak perlu membawa barang yang banyak. Kami hanya bermalam satu malam di Arafah, kemudiannya pulang kembali ke Mekah. Setiap hari, kami berulang ke Mina untuk melontar dan mabit selama 6 jam dan pulang semula ke Mekah.
    • Jadi, memadai untuk kami membawa tuala kecil, sehelai telekung (just in case telekung kotor) dan sejadah untuk lapik solat. Boleh dikatakan kami ke Arafah sehelai sepinggang. Lagipun, jemaah dinasihatkan tidak mandi, apa lagi membasuh baju di Arafah disebabkan kesesakan bilik mandi.

Monday, January 19, 2009

Macam mana boleh pergi haji

ni semua bermula sejak balik dari umrah pertama pd 2005, isteri saya Roza dah ajak pergi tapi masih tak dpt...daftar dgn Tabung Haji pun tak. 2006 nak pergi, tapi Roza sibuk sambung perlajaran kat UK.....M. 2007 bulan Nov baru daftar dgn Tabung Haji...baru tau nak daftar haji cuma perlu ada RM90 dlm akaun, tahu no IC dan reti bercakap jer. maksudnya begitu mudah, tak perlu isi borang.

terkejut bila pegawai tu kata sy cuma blh pi pd tahun 2018...peh lg 11 tahun tu. terus call kwn sy yg ada syarikat buat umrah & haji...dia kata tak sempat utk tahun 2007, dia suruh cuba utk 2008. Masuk jer bulan Muharam 1429 saya terus fax resit pendaftaran kat dia. hampir setiap bulan sy call dia utk mintak update. mana tak nya setiap minggu Roza asyik tanya. dalam pertengahan 2008 hampir semua org dpt tau. dah mula resah.

lagi syok rakan baik sy, Shamsani dah dpt tempat dgn TH...wah tak aci ni. sbb gi umrah sekali. tetiba dlm 16 Oct 2008 Azlan cl sy. Dia menyampaikan berita sedih. Kami tak dpt kuota TH utk 2008. peh sedih jugak. dan dia tanya "Abg nak pi dgn passport merah tak?"... sy tanya apa beza dia. dia kata"TH guna passport hijau, kalu abg nak guna passport merah sy blh uruskan?'...sy kata "passport hijau ker, merah ker tak kisah. yg penting dpt p haji"

Azlan diam utk 2 minggu. tiada berita. ok sabar. tut tut dalam awal Nov dia suruh ami pi cucuk meginiantis ( betul ke eja ni, hentam saja), 5 Nov semua selesai. walaupun ada satu klinik tak mau cucuk. alhamdullilah ada satu klinik sanggup cucuk. bila sampai kay klinik doktor tu gelak...dia cuma ada utk satu org, dia tak sangka kami berdua. sy ambil dgn dia, tapi dia cl satu lg klinik kat shah alam utk check ada tak ubat tu. alhamdullilah ada. Roza cucuk kat sana. mlm tu jugak pi ucap selamat jalan kat shamsani...dia akan berlepas pd 6 Nov.

14 Nov alhamdullilah Visa kami diluluskan, confirm kami akan berlepas pd 28 Nov 08, dan pulan 5 Jan 09. wow ada cuma 2 minggu jer...Roza dpt cuti, sy terpaksa amik cuti tanpa gaji sbb cuti thunana dah abis. sy jadi blur jugak utk beberapa hari. terkejut. takut. semua ada. rasa perut sejak mcm nak pi interview lak.... bersambung

Friday, January 16, 2009

Salam Pengenalan

ni adalah diari pengalaman ibadat haji saya dan isteri pada 2008/2009. Alahamdullillah kami terpilih untuk jadi tetamu Allah pada tahun lepas. Kami berlepas Pada 28 Nov 2009 dan tiba M'sia pada 5 Jan 2009. Saya dan isteri akan cuba beri pengalaman kami di sana serta tips untuk bakal haji.