Tuesday, December 29, 2009

Perjalanan Haji 1



Kami bertolak ke Tanah Suci pada hari Jumaat, 28 November 2008, dengan penerbangan Saudi Airlines, jam 7.55 malam waktu Malaysia. Kami pulang ke Butterworth pada hari Selasa sebelumnya untuk menghantar anak-anak ke Butterworth. Kami merasakan lebih mudah begitu, memastikan mereka telah berada dengan mak di Butterworth sebelum berangkat. Kami bertolak dari rumah ke KLIA selepas solat Jumaat, dihantar oleh Pani dan Ila.

Jemaah dalam kumpulan kami hanya 4 orang; kami suami isteri serta Kak Rubi dan Farhan, dari Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Ini merupakan perjalanan haji kedua buat mereka. Turut serta dalam penerbangan yang sama dan sama-sama menunggu beg adalah Ustaz Hussein Yee dan keluarganya. Alhamdullillah, penerbangan ke Jeddah lancar sekali. Sepanjang perjalanan, aku terus memohon supaya dipermudahkan segala urusan perjalanan kami dari mula sehingga akhir. Kami tiba di Jeddah pada pukul 4 pagi waktu Malaysia (lebih kurang 11.50 malam waktu Arab Saudi). Oleh kerana kami menggunakan penerbangan komersial dan bukan penerbangan haji, kami seterusnya menaiki bas untuk ke terminal haji Jeddah.




Namun, beg kami tiba agak lewat kerana beg-beg dibawa ke terminal antarabangsa Jeddah walaupun telah diletakkan tag "haji". Aku menganggap ini sebagai dugaan awal kami dalam perjalanan haji. Walaupun tiada masalah imigresen, kami terpaksa menunggu beg di ruang menunggu sehingga jam 5.30 pagi. Aku masih ingat, kami masing-masing sibuk memerhati ke arah platform beg, menunggu kalau-kalau beg telah tiba. Sepanjang menunggu, aku terpegun melihat ramainya jemaah haji yang tiba. Hampir 15 minit sekali, aku melihat ada sahaja kumpulan jemaah haji yang mendaftar masuk menerusi imigresen. Subhanallah.....betapa manusia berlumba-lumba untuk mengerjakan rukun islam kelima ini.

Sebenarnya, dugaan ini bukanlah besar. Suami aku, mengingatkan aku untuk menganggap ini sebagai ujian pertama dan jangan merungut. Tambahan pula kami telah pun berniat ihram dari dalam kapal terbang di Qarnul Manazil. Selain dari agak lapar dan dahaga sebab kami tidak dibenarkan keluar untuk membeli minuman atau makanan, aku rasa yang lebih mencabar adalah disebabkan ketidaksabaran kami untuk sampai ke kota Mekah. Aku sudah seperti terbayang-bayang Baitullah di hadapanku. Menurut perkiraan awal kami, kami sempat menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram. Sesungguhnya, kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan.

Alhamdullilah, beg kami tiba sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Selesai urusan beg dan imigresen, kami menunaikan solat Subuh di ruang rehat yang dikhaskan untuk jemaah haji Malaysia. Jemaah Malaysia mempunyai ruang menunggu yang sangat luas di Lapangan Terbang Haji Jedah, berbanding jemaah dari negara lain. Sayangnya, dalam kesibukan mencari wakil pakej dan sebagainya, kami terlupa untuk merakamkan sebarang senario di Lapangan Terbang Haji ini. Seperkara lagi yang aku perhatikan, jemaah Malayisa mendapat layanan yang jauh lebih baik berbanding jemaah negara lain. Aku terpandang jemaah dari negara Timur Tengah yang isi beg mereka dipunggah satu persatu oleh pihak imigresen.
Sekadar untuk berkongsi pengalaman, penerbangan yang kami naiki merupakan penerbangan Jakarta-Kuala Lumpur-Jeddah. Aku diberitahu kemudiannya jemaah-jemaah Indonesia tersebut merupakan mereka yang mengikuti pakej haji mewah. Yang menghairankan aku, mereka tidak berniat ihram di atas kapal terbang apabila melewati kawasan miqat, sebab jemaah lelakinya tidak mengenakan pakaian ihram sebagaimana jemaah Malaysia. Mereka hanya mengenakan pakaian ihram ketika berada di lapangan terbang. Rupanya itu dibolehkan menurut syariat mereka. Waalahualam....
Kami seterusnya menaiki bas ke Mekah. Oleh kerana kami hanya berempat, kami menaiki bas bersama-sama jemaah Indonesia. Perjalanan memakan masa kira-kira 2 jam, termasuk lebih kurang setengah jam di check-point,(jemaah haji diberikan sebotol air zam-zam). Apa yang mengkagumkan aku adalah jemaah Indonesia dalam bas tersebut bertalbiah dan berselawat di sepanjang perjalanan tanpa henti, dengan diketuai oleh seorang wanita. Betapa bersemangatnya mereka memanjatkan kesyukuran dan memuji Allah subhanawataala.
Kami diturunkan di hadapan sebuah hotel di mana wakil pakej sedang menunggu untuk membawa kami ke hotel penginapan kami. Disebabkan kami cuma berempat, kami dibawa menaiki kereta. Sebelum berlepas dari Kuala Lumpur, kami diberitahu kami akan menginap di Rehab Ferdaus. Sepanjang perjalanan, aku melihat jemaah-jemaah haji memenuhi kaki-kaki lima jalan walaupun masih jauh daripada Masjidil Haram. Aku teringat cerita rakan-rakan tahun ini ramai jemaah haji yang terpaksa menginap jauh dari Masjid disebabkan banyak hotel-hotel berdekatan masjid dirobohkan untuk tujuan pembinaan kompleks penginapan baru.
Aku masih teringat pada awalnya, kereta yang membawa kami melewati kawasan hadapan Masjidil Haram, kemudiannya membawa kami semakin jauh ke hadapan. Aku mencari-cari Hotel Rehab Ferdaus sebagaimana yang diberitahu oleh Azlan, kawan suamiku yang juga merupakan pengurus syarikat yang mengendalikan pakej haji kami. Namun kereta tersebut terus saja mara ke hadapan. Kata Kak Rubi, hei, we are moving farther away from Haram...Mana ni hotel kita? Pemandu kami memberitahu dia sebenarnya akan membuat pusingan U di hadapan. Hotel kami di belakang sana.



Kami amat bersyukur apabila mendapati hotel kami, Dar Ferdaus cuma 150meter daripada Masjidil Haram. Hotel kami terletak di sebelah hentian teksi di hadapan Masjidil Haram. SubhanaAllah. Kami juga diberitahu hotel ini baru sahaja diubahsuai ramadhan yang lalu. Jauh di sudut hati, aku amat terharu dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kami. Dalam 5 juta jemaah haji, aku dan suami, hambaNya yang kerdil ini diberikan tempat yang amat selesa dan dekat dengan Masjid. Aku berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini, cuba untuk menghabiskan sebanyak mungkin masa di masjid. Apalagi bila aku mendengar ada jemaah Indonesia yang tempat tinggalnya berkilometer dari masjid. Demikian juga dengan jemaah dari Malaysia sendiri yang sebahagiannya terpaksa menaiki teksi untuk ke masjid. Aku memanjatkan doa kepada Allah agar aku diberikan nikmat sihat dan kuat untuk menunaikan ibadah dalam Masjidil Haram, di hadapan Baitullah. Aku sedar sesungguhnya keselesaan tempat tinggal dan jarak yang dekat bukan jaminan untuk menunaikan ibadah dengan sempurna. Itupun hanya kelengkapan material yang tidak menjanjikan apa-apa. Ramai jemaah yang tinggal lebih jauh dalam keadaan yang lebih daif, lebih sempurna ibadahnya di Masjidil Haram. Lebih banyak mereka menghabiskan masa di Masjidil Haram. Sebenarnya, keupayaan melakukan ibadah dalam Masjidil Haram juga merupakan satu nikmat kurniaan Allah semata-mata.

No comments:

Post a Comment