Friday, December 25, 2009

Persiapan Perjalanan Haji



Disebabkan kami hanya mendapat tahu dapat menunaikan haji pada tahun 2008 lebih kurang 2 minggu sebelum bertolak, persiapan kami memang ala kadar. Kami memutuskan untuk membawa apa yang sempat, selebihnya beli di sana. Kami sendiri pun tidak merasakan bekalan material sebagai keperluan yang mustahak. Memadai dengan apa yang ada...tak perlu berpasang-pasang telekung baru, tak semestinya kena bawa jubah dan ketayap baru dan sebagainya.

Yang lebih merisaukan kami adalah persiapan mental. Kami tidak sempat mengikuti mana-mana kursus haji secara formal. Dalam kesyukuran yang teramat sangat kerana Allah memakbulkan doa kami suami isteri untuk menunaikan haji musim itu, terselit kebimbangan yang amat sangat tentang "kelayakan" kami secara rohani untuk menunaikan rukun islam kelima ini. Cukupkah amalan dan ilmu yang kami ada untuk dibawa sebagai bekalan dalam perjalanan haji nanti. Tambahan pula, kami juga banyak disogokkan dengan cerita-cerita yang menakutkan yang berlaku di Tanah Suci. Kebanyakan jemaah haji pulang dengan kisah-kisah dan pengalaman negatif di Tanah Suci......sesaknya masjid, susahnya nak jalan, ramainya orang, penatnya perjalanan ke Arafah, dugaannya tinggal di Mina dan macam-macam lagi. Malah ada juga yang seperti memberi amaran tentang bagaimana sesaknya Mekah musim haji kali ini berikutan proses ubahsuai kawasan sekeliling Masjidil Haram. Aku sekadar mampu membulatkan tekad yang kalaupun perjalanan haji ini ditakdirkan menjadi satu episod yang paling sukar dalam hidup aku, aku redha kerana sesungguhnya tujuan aku ke sana pun bukan untuk bersenang lenang. Aku benar-benar mahu menunaikan ibadat kerana Allah. Jadi, apapun dugaannya, aku akan tempuhi. Dan aku yakin Allah tidak akan menguji hambaNya lebih dari yang termampu dipikul oleh seseorang hamba.



Sesungguhnya Allah Maha Besar. Kami berdoa kepada Allah semoga diberikan petunjuk. Hidayah Allah datang dalam pelbagai cara. Ketua jabatan pada ketika itu, Dr Radiah (thanks very much Dr) memberikan aku buku Travelog Haji. Terima kasih juga kepada Professor Kamil yang sudi berkongsi pengalaman haji beliau. Sesungguhnya buku tersebut memberikan banyak pengajaran bagi kami suami isteri. Aku menghabiskan buku tersebut dalam masa beberapa jam sahaja kerana isinya yang sangat bermakna dan diolah dalam bahasa yang menarik.

Pengajaran yang aku dapat dari buku tersebut: Allah Maha Berkuasa. Allah Maha Besar. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan. Mohon sahaja kepada Allah semoga diberiNya petunjuk dan dipermudahkan segala urusan. Persiapan dalam tempoh yang lama serta bekalan material yang lengkap bukan syarat untuk mendapat perjalanan haji yang mudah. Satu lagi pengajaran yang aku peroleh dari buku yang sama adalah setiap jemaah haji yang ke Tanah Suci adalah tetamu Allah. Sesungguhnya Allah Maha Merancang dan Maha Mengetahui. Kalau Allah dah jemput sebagai tetamuNya, bererti Allah telah mengkhususkan tempat yang secukupnya untuk setiap tetamu. Ya tak ya jugak....


Sara Aiesya, 2 tahun

Anak-anak? Sudah tentu kami bimbang tentang anak-anak. Harriz yang sulung baru berusia 9 tahun, Ezham 7 tahun dan Sara belum pun 2 tahun. Walaupun kami akan meninggalkan mereka dalam jagaan kedua-dua mak di Butterworth, namun terfikir juga tentang bagaimana mereka tanpa kami selama lebih sebulan. Sekali lagi, aku diberikan petunjuk oleh Allah. Semasa menyelak-nyelak buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam (Fathi Yakin), aku terjumpa sepotong ayat yang lebih kurang menerangkan tentang Allah memberi amaran supaya jangan menjadikan harta atau anak sebagai halangan untuk beribadat. SubhanaAllah....aku pasrah. Aku yakin Allah adalah Pemelihara dan Pelindung yang terbaik. Alhamdullillah...ingatan sebegini benar-benar menenangkan aku.

Kami terus memanjatkan doa kepada Allah supaya urusan kami dipermudahkan. Seterusnya yang lebih utama supaya kami terus diberikan ilmu untuk kami bawa sebagai bekal ke Tanah Suci bagi membolehkan kami menunaikan ibadat sesempurna mungkin. Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Satu-satunya kursus haji yang kami hadiri 5 hari sebelum berlepas ke Tanah Suci memberikan kami begitu banyak ilmu dan maklumat yang sangat berguna. Kursus intensif yang disediakan oleh pihak syarikat dikemudikan oleh seorang ustaz dari Kalimantan. Ringkas dan padat.

Setelah menerangkan dengan jelas tentang tatacara perjalanan ibadat haji, aku masih ingat kata ustaz ini dengan penuh makna, "Maka selesailah haji.....mudah, tapi nasib kita di sana masing-masing tak sama ya, ibu-ibu, bapa-bapa". Tersirap darah aku mendengar ungkapan ustaz. Namun nasihat ustaz seterusnya tentang apa yang perlu dilakukan yang menarik perhatian aku. "Banyakkan solat taubat", kata ustaz. "Banyakkan solat hajat supaya Allah memudahkan semuanya", kata ustaz lagi. Lalu itu yang aku lakukan sebanyak yang termampu, dari sini sehinggalah kami bertolak ke Arafah. Solat taubat mohon diampunkan segala dosa dan solat hajat mohon dipermudahkan segala urusan. Aku yakin Allah Maha Pengampun dan Allah yang Maha Berkuasa atas segalanya.

Dalam sessi kuliah itu juga, ustaz telah menggariskan pengisian waktu sepanjang berada di Mekah. Bermula dengan sunat wuduk (inilah pertama kali aku tahu tentang adanya sunat wuduk), sembahyang sunat dhuha dan sunat-sunat rawatib yang lain. Ustaz menasihatkan kami supaya mengambil peluang untuk khatam al-quran di Mekkah dan melakukan puasa sunat.

Alhamdulillah, dengan petunjukMu ya Allah, selesai kursus kami seakan tidak sabar untuk memulakan perjalanan haji. Walaupun masih terselit kebimbangan sebagai hamba kerdil yang akan ke Tanah Suci namun kami berazam untuk menunaikan rukun islam kelima sesempurna mungkin.

Tentang persiapan material, kami memilih untuk travel light. Lagipun, kami tidak mempunyai masa yang banyak. Yang pasti, setelah kembali kami faham yang sebenarnya jemaah haji Malaysia persiapannya terlalu komplikated. Semua orang berpesan suruh bawa itu dan ini. Barang keperluan sebenarnya tidaklah begitu banyak.

Senarai barangan yang kami bawa, secara ringkasnya:
  • Ubat-ubatan:
    • ubat sakit tekak (Fisherman's Friends)
    • pil chiki tek aun
    • satu set ubat sakit selsema, demam dsb (ini disebabkan kami pergi bukan di bawah Tabung Haji. Jadi kami tiada kemudahan perubatan. So kami bawa ubat-ubatan ni.
    • krim untuk kaki kering
    • lip balm
    • vitamin C
    • note: semua ubat ni available kat Farmasi di sana. Cuma mahal sikit dan kalau musim haji, orang sesak dalam mana-mana kedai, especially yang dekat dengan Masjidil Haram.
  • Pakaian Wanita:
    • telekung - 4 helai
    • jubah seluar - 3 pasang
    • baju harian - 2 helai
    • seluar dalam pakai buang (untuk kegunaan semasa wukuf di Arafah.
    • setokin - 4 pasang
    • sepasang kasut ikat - untuk digunakan semasa melontar
  • Pakaian Lelaki:
    • kain pelekat
    • jubah (sebab my hubby gunakan jubah untuk ke masjid)
    • baju Melayu
    • tali pinggang ihram
    • kain ihram - 2 pasang
    • sandal yang terbuka di depan - untuk kegunaan dalam ihram
  • Beg Pack - seorang satu. Untuk memudahkan pergerakan, kami memilih untuk membawa bag pack untuk kegunaan ke Arafah dan Mina.
  • Beg kasut dan beg isi batu untuk melontar. Well, everybody di Malaysia sibuk bertanya tentang karung kasut dan karung batu. Sebenarnya, tak wajib pun. Jemaah haji negara lain rileks aja...isi jelah kasut dalam mana-mana beg plastik. Lagipun dalam musim haji, kita kena bawa kasut sama dengan kita. Tak boleh tinggal kat rak kat luar tu. Ada orang isi batu untuk melontar dalam saku jaket aja. Simple...
  • Untuk kegunaan di Arafah dan Mina:
    • Disebabkan pakej kami tidak bermalam di Mina, kami tidak perlu membawa barang yang banyak. Kami hanya bermalam satu malam di Arafah, kemudiannya pulang kembali ke Mekah. Setiap hari, kami berulang ke Mina untuk melontar dan mabit selama 6 jam dan pulang semula ke Mekah.
    • Jadi, memadai untuk kami membawa tuala kecil, sehelai telekung (just in case telekung kotor) dan sejadah untuk lapik solat. Boleh dikatakan kami ke Arafah sehelai sepinggang. Lagipun, jemaah dinasihatkan tidak mandi, apa lagi membasuh baju di Arafah disebabkan kesesakan bilik mandi.

No comments:

Post a Comment