Friday, October 15, 2010

Haji



Kami berterusan memohon kepada Allah supaya dimudahkan urusan haji kami dan dikurniakan haji mabrur. Sepanjang masa di sini, aku semakin mengerti bahawa manusia sebenarnya teramat lemah, kerdil dan tidak mempunyai apa-apa. Keupayaan manusia untuk beribadah dan sebagainya sesungguhnya adalah nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka yang dikehendaki. Betapa tugas utama manusia adalah memohon rahmat dan kasih ilahi, tanpa henti. Aku menginsafi diri dengan apa yang aku perhatikan di sini. Aku melihat bagaimana mereka yang berpeluang mendiami hotel yang sangat mewah berdekatan masjid memilih untuk menunaikan solat dalam bilik hotel sahaja. Aku mendengar cerita bagaimana mereka yang sihat walafiat di tanahair jatuh sakit sewaktu berada di Mekah. Aku mendengar bagaimana ada yang telah menunaikan ibadah umrah -termasuk tawaf tetapi menyatakan tidak perasan bagaimana rupabentuk Baitullah. Waalahualam. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku ya Allah. Rahmatilah kami dengan nikmatMu yang Allah. Jadikan kami hambaMu yang sentiasa mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan menunaikan ibadah dengan baik sebagaimana suruhanMu.

Dalam membaca antara buku yang aku bawa tentang ibadah haji, Allah menunjukkan kepada aku satu penerangan tentang wukuf. Wukuf merupakan wajib haji dan tempoh waktunya singkat. Maka syaitan sepanjang masa akan bekerja keras untuk menghalang jemaah daripada menunaikan wukuf di Arafah supaya mereka tidak dapat menunaikan haji. Sebab itu Arafah merupakan kemuncak haji. Aku teringat cerita tentang sekumpulan jemaah yang pernah terlupa untuk mengikuti jemaah lain wukuf di Arafah pada musim sebelumnya.

Akhirnya, setelah hampir seminggu kami di Mekah, tibalah masanya untuk kami menunaikan rukun islam kelima. Kami bertolak dari hotel selepas fardhu Zohor. Oleh kerana kumpulan kami kecil, kami bergabung dengan kumpulan Zahafiz. Kami bertolak ke Hotel Nisma (kalau tak salah) terlebih dahulu. Dari sana kami menaiki bas ke Arafah.Alhamdulillah, perjalanan kami hanya mengambil masa 45 minit. Kami tiba di Arafah lebih kurang jam 4.40 petang. Bas yang membawa jemaah dari tempat yang sama bertolak lebih kurang pada masa yang sama ada yang hanya tiba di Arafah pada jam 11 malam. Cuma kami dimaklumkan oleh ustazah pakej Zahafiz, ramai juga jemaah yang terpaksa berdiri dalam bas di Arafah sebab tempat tidak mencukupi sedangkan pihak penganjur telah menempah bilangan bas yang mencukupi. Ini semata-mata disebabkan ada jemaah yang masih mementingkan keselesaan sendiri. Mereka enggan meletakkan beg di atas lantai bas sebaliknya mahu meletakkan beg di atas tempat duduk. Jadi, seorang jemaah memerlukan dua tempat duduk.

Berita yang lebih mengejutkan daripada pihak penganjur adalah ketiadaan 3 atau 4 jemaah wanita. Bila dicari oleh pihak pakej rupanya mereka pergi membeli-belah dan mungkin terlupa untuk megikuti jemaah yang lain menaiki bas ke Arafah. Mujurlah pihak pakej sangat prihatin. Dalam keadaan di mana pengangkutan tambahan yang tidak ditempah awal amat susah untuk dicari dan jalan yang sesak, alhamdulilah dengan izin Allah jemaah wanita tadi dapat dibawa ke Arafah untuk wukuf. Ustazah menceritakan bagaimana tahun sebelumnya 6 jemaah haji tertidur di dalam bilik sewaktu jemaah lain sibuk berlepas ke Arafah.

Aku menginsafi nikmat Allah yang dikurniakan pada aku. Ini satu-satunya wukuf haji wajib yang akan aku lalui seumur hidup. Aku mohon pada Allah semoga diberikan kekuatan dan keupayaan untuk memanfaatkan sepenuhnya nikmat yang Allah kurniakan ini.



Pengalaman di Arafah? Aku merasakan tiada perkataan yang mampu menggambarkan indahnya pengalaman di Arafah, Tiba di Arafah, kami ditempatkan di dalam khemah yang boleh memuatkan 100 orang tiap sebuah khemah. Setiap seorang diperuntukkan tempat secukupnya untuk tilam nipis. Beg perlu diletakkan di hujung kepala atau kaki. Bab nak letakkan beg kat mana pun jadi isu di dalam khemah, Aku memilih untuk diam. Aku letakkan saja beg di hujung kaki mengikut apa yang dilakukan oleh Mak Teh. To me, it is a small matter. Letak la beg tu kat mana pun, kaki kat mana, kepala kat mana. Nak duduk sekejap aja - satu malam tu pun kan nanti sibuk nak buat itu, buat ini.


Kami diingatkan oleh ustazah agar tidak mandi. Bilik air terhad. Jemaah haji ramai. Kata ustazah, memadai mengambil wuduk sahaja. Pun aku perhatikan manusia pelbagai ragam. Bukan setakat mandi, yang membasuh pakaian pun ada. Sedangkan ajaran Islam tu indah, hidup yang sempurna bukan sekadar ibadahnya sempurna, tetapi juga akhlak mesti indah dalam erti kata tidak menyusahkan orang lain.

Selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak, suami memanggil aku dan kami berjalan di sekitar kawasan khemah. Pihak Saudi membekalkan makanan. Malam itu makanan kami nasi putih dengan telur rebus ke ayam goreng??? Aku dah tak ingat. Yang pasti, rezeki aku murah betul. Alhamdulillah. Jiran aku dalam khemah bawak bekal ikan kering. Jadi aku dan mereka yang tilamnya berhampiran dapat extra. Bekalan air mineral disediakan (freeflow) di luar khemah. Yang di ration seorang satu cuma jus buah-buahan. So setiap orang cuma dapat satu, sepatutnya. Pun aku perhatikan ada yang selamba saja ambil 2. Akibatnya, ada jemaah yang tak dapat sebab yang dihantar memang cukup-cukup aja. Esoknya semasa breakfast makan nasi goreng dengan telur rebus. Lunch nasi putih dengan telur rebus. Sekali lagi, jiran aku yang seorang lagi bawak serunding daging.

Yang lebih penting, pengisian waktu di Arafah. Ada yang pilih untuk bersembang macam jumpa kat KL aja. Itu pilihan sendiri. Hampir waktu Zohor, semua khemah digulungkan untuk persediaan wukuf. Pihak syarikat menyediakan khutbah dan juga sessi zikir secara jemaah. Kami dihidangkan dengan ceramah oleh ustazah Fatimah Az Zahra. Beliau bercakap tentang takwa dan pentingnya untuk jemaah pulang dengan perubahan yang positif dalam hidup. Meneruskan pengisian ibadah bukan sekadar di tanah suci tetapi diteruskan sepanjang masa - menyempurnakan solat, menambahkan dengan ibadat solat dan terus menutup aurat dengan sempurna.

Pun aku melihat ada yang memilih untuk tidur sambil baring. Dari segi syarak yang wajibnya berada di Arafah. Selepas zohor, suami mengajak aku keluar dan kami memilih satu tempat untuk berzikir bersama-sama. Ramai jemaah lain pun melakukan perkara yang sama. Kami berada di situ sehingga hampir waktu Maghrib. Lebih kurang waktu Asar, kami melihat bagaimana langit tiba-tiba menjadi seakan mendung. Kami melihat bagaimana awan berkepul-kepul membentuk kalimah La ila ha ila Allah. Suami aku mengambil foto awan tersebut tetapi gambarnya hilang bila kami balik ke Mekah. SubhanaAllah....Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami. Sesungguhnya ya Allah, kami tak layak mendiami syurgaMuYa Allah. Tapi kami takut dengan azabMu yang amat dahsyat itu. Ampunilah kami ya Allah. Hidupkan kami dalam iman ya Allah. Matikan kami dalam iman dan islam ya Allah. Kami diberitahu kemudiannya ada rakan suami yang nampak awan membentuk kalimah Allah hu Akbar.

Aku insaf betapa kerdilnya diri. Sepanjang berada di Arafah, aku teringat bahawa Arafah bayangan Mahsyar. Benarlah, kita nanti tak punya apa pun. Harta, anak-anak semuanya tiada. Yang ada cuma kita dengan amalan dan bekalan yang kita bawa. Betapa yang perlu dikejar adalah pengumpulan harta akhirat; bukan pengumpulan harta dunia yang akan kita tinggalkan bila dijemput menemui ilahi.

Kami seterusnya menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak sebelum bertolak ke Mudzalifah. Perjalanan ke Mudzalifah agak mencabar. Jalanraya terlalu sesak. Nak mendapatkan pengangkutan untuk ke Mudzalifah seterusnya ke Mekah sangat sukar. Kami menunggu agak lama - disebabkan kami tidak mengikut perjalanan pakej biasa yang mana disediakan bas untuk ke Mudzalifah seterusnya Mina. Kami akan terus pulang ke Mekah tanpa ke Mina. Rupanya, kami menunggu di tempat bukan laluan kenderaan persendirian atau kenderaam yag disewakan. Wak dan Aru, pembantu pengendali pakej di sana akhirnya melintas dan menunggu di seberang jalan. Akhirnya, alhamdulillah kami dapat menaiki sebuah van yang dipandu oleh seorang Arab Madinah. Cuma pemanduannya subhana Allah. Orangnya muda - pemanduannya juga sangat agresif. Dalam kesesakan jalanraya dengan bas dan van yang bersimpang siur, dia main rodong mana yang boleh, Jalan, bahu jalan, asal boleh lalu, dia redah. Yang kelakarnya, di tempat yang dah terlalu sesak, dia akan berhentikan van dan turun untuk bertindak sebagai polis trafik sebelum kembali menjadi pemandu. Aku teringat lagi saat dia menghimpitkan vannya di tengah-tengah 2 buah bas semata-mata untuk memotong. Dalam hati aku tak berhenti-henti berdoa semoga kami selamat sampai ke Mudzalifah seterusnya Mekah - in one piece. Kak Rubi tak henti-henti gelak sepanjang jalan - adventure kata dia. Aku kagum dengan keberaniannya tapi rupanya dia pun takut. Dalam perbualan telefon dengan anaknya di bilik hotel di Mekah, aku dengar dia kata - we don't know that time whether we would reach Mecca alive. Yang aku lebih kagum, suami aku dengan suami Kak Rubi boleh tidur dengan nyenyaknya lengkap dengan berdengkur sekali.

Akhirnya, kami tiba di bumi Mudzalifah pada jam 12 tengah malam (lebih kurang 4 jam perjalanan). Kami berada di situ seketika sahaja disebabkan Tuan Haji Yusof mahu cepat tiba di Mekah untuk menunaikan tawaf ifadah dan saie haji - untuk elakkan kesesakan. Ini disebabkan dalam kumpulan kami ada jemaah yang telah berumur dan uzur. Alhamdulilah kami tiba di hotel lebih kurang jam 1 pagi. Setelah membersihkan diri, kami pergi ke Masjidil Haram untuk menunaikan tawaf ifadah dan saie haji serta tahallul. Alhamdulilah, jam 4 pagi kami telah selesai melakukan ibadah haji. Keadaan masih tidak begitu sesak di Masjidil Haram kerana kebanyakan jemaah masih dalam perjalanan. Sebahagian jemaah pula hanya akan pulang untuk melakukan tawaf dan saie setelah selesai melontar.

No comments:

Post a Comment