Friday, October 15, 2010

Amalan harian semasa haji & bila pulang ke Malaysia

Sedikit pesanan dari ustaz semasa kursus untuk dikongsi bersama. Pesan ustaz, penuhkan masa dengan ibadah, iaitu:
  • solat sunat harian:
    • sunat wuduk 2 rakaat
    • sunat selepas dan sebelum solat fardhu
    • sunat tahiyatul masjid
    • sunat witir
    • sunat tahajjud
    • sunat dhuha
    • sunat awwabin/sunat taubat
    • sunat hajat
    • sunat istikharah
    • sunat tasbih
  • membaca quran dan cuba untuk khatam khususnys di Mekah
  • selawat ke atas rasul 1000 kali sehari
  • zikir harian 1000 kali sehari (zikir yang sama juga dianjurkan semasa tawaf)
Pada hari Selasa, dua atau tiga hari sebelum Wukuf, pihak syarikat menjemput seorang ustaz untuk memberikan ceramah haji. Sekali lagi untuk membimbing dan mengingatkan jemaah tentang ibadah haji. Ustaz ini daripada Indonesia tetapi telah lama menetap di Makkah. Aku masih ingat ustaz ini dengan penuh rendah diri mengingatkan kami tentang keperlaun untuk mensyukuri rahmat Allah. Sesungguhnya kata ustaz, tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah semata-mata. Hakikat bahawa kami berada di Tanah Suci untuk menunaikan haji semata-mata disebabkan oleh izin Allah, semata-mata disebabkan Allah memilih kami untuk menjadi tetamu Allah. Lalu, itu adalah satu nikmat yang wajib disyukuri.

Ustaz menceritakan tentang bagaimana jemaah daripada negaranya yang mengamuk apabila mendapati tempat tinggal yang diperuntukkan kepada mereka jaraknya hampir di luar tanah haram. Sedangkan bayaran yang dikenakan kepada mereka adalah tinggi. Bagaimana dia terpaksa menerangkan duit tiada nilai di sini, duit bukan segalanya dan duit tidak boleh membeli nikmat Allah.

Ustaz ini menerangkan dengan panjang lebar tentang wukuf di Arafah, selain adab dan tatacara mengerjakan haji. Beliau mengingatkan supaya tidak banyak menyoal tentang cara peribadatan haji pihak lain kerana mazhab yang berbeza mempunyai kaedah yang berbeza. Beliau menasihatkan kami supaya memanfaatkan sepenuhnya waktu Wukuf di Arafah untuk berdoa dan berzikir. Ini adalah satu peluang sekali seumur hidup - wukuf haji wajib. Yang paling penting beliau mengingatkan kami berulang kali tentang perlunya merendahkan diri bukan saja kepada Allah tetapi dengan semua umat manuisa kerana kita sebenarnya tidak mempunyai apa-apa. Teringat cerita ustaz tentang satu kisah seorang insan kerdil yang wukuf di Arafah dengan berdoa, Ya Allah, aku hamba yang hina dan banyak dosa. Janganlah hendaknya kerana kehadiran aku yang hina di sini, kau menolak doa hamba-hambaMu yang lain. Begitu humble hamba ini. Dan kata Ustaz, disebabkan doa dan sifat rendah diri hamba Allah tersebut, Allah ampunkan dan makbulkan doa kesemua jemaah haji yang wukuf bersama jemaah tadi. Subhana Allah.................

Tentang pengisian waktu di Arafah, ustaz ini berkali-kali berpesan supaya memanfaatkan sepenuhnya waktu Wukuf di Arafah nanti. Jangan membuang masa dengan berbual kosong. Kata ustaz, zikir dengan zikir harian. Kami dianjurkan untuk membaca surah al-ikhlas 1000 kali bermula daripada selepas subuh hari Wukuf, membaca Yaasin dan memperbanyakkan zikir Tauhid.

Dan selain merancang, kami dianjurkan supaya melakukan solat hajat mohon dipermudahkan segala urusan perjalanan haji. Sesungguhnya kemampuan kita melaksanakan ibadah haji tertakluk kepada izin Allah S.W.T. Waalahualam.

Selain dari itu, Tuan Haji Yusof turut mengingatkan kami dan meminta kami semua melakukan sunat taubat dan sunat hajat secara berterusan sebelum hari Wukuf. Mohon diampunkan segala dosa dan mohon dipermudahkan perjalanan haji. Beliau yang telah berpuluh tahun berpengalaman mengendalikan pakej haji menegaskan bagaimana perjalanan haji ini berbeza-beza bagi setiap individu. Beliau mengingatkan betapa kami perlu bersabar dan redha dengan apa jua ketentuan Allah. Pengalamannya dengan pakej tahun sebelum kami, perjalananan ke Arafah yang sepatutnya mengambil masa dalam 30-45 minit, menjadi 8 jam berikutan minyak bas habis kerana jalan yang sesak selain daripada seorang jemaah diserang histeria.

No comments:

Post a Comment