Friday, October 8, 2010

The Long Overdue Update....Pengisian Sebelum Haji

Dah lama tak update blog ni.  Bila dengar cerita kawan rakan nak pergi haji, terpanggil rasanya untuk melengkapkan blog ini sebab seakan terasa-rasa nikmat perjalanan haji dua musim dahulu.  Sambungan daripada my latest update....alhamdullillah, kami menyempurnakan umrah haji tamattuk sebelum solat Zohor.  Ingat lagi, sebaik saja selesai Saie, azan Zohor pun berkumandang.  Kami menunaikan solat Zohor berhampiran tempat Saie.  Selesai umrah, kami pulang ke hotel untuk makan tengahari seterusnya berkenalan dengan jemaah lain yang sekumpulan. 

Tahun 2008, pengendali pakej kami tidak mempunyai jemaah yang ramai, cuma 12 orang satu kumpulan.  Azman, Tuan Haji Yusof dan Mak Teh pengendali pakej.  Selain aku dan suami, Kak Rubi dan Farhan daripada Bukit Antarabangsa, Kak Bibah dan kakaknya dua beradik; Mak Cik Norlia (we called her Mak Cik Kecik sebab ada dua orang Mak Cik dan dia memang kecil orangnya) dan Pak Hamid dan isteri, Mak Cik Hajar.  Aku sebilik dengan Kak Rubi, Mak Cik Hajar dan Mak Cik Norlia.  Alhamdullillah, bilik penginapan kami selesa - ada air cond, ada tv, ada peti sejuk.

Oleh kerana kami tiba di Mekah sudah hampir dengan waktu haji, kami dinasihatkan agar tidak mengerjakan umrah lagi - sebagai langkah menjaga keselamatan memandangkan ketika itu Mekah amnya dan masjidil haram khususnya amat sesak.  Juga untuk menjaga kesihatan agar ibadat yang wajib dapat dilaksanakan sesempurna mungkin.  Ibadah haji memerlukan stamina dan kekuatan fizikal.  Satu disebabkan ia melibatkan aktiviti fizikal dan yang keduanya disebabkan kita akan melakukan ibadat tersebut di tempat yang sama dengan berjuta jemaah lain pada masa yang lebih kurang sama.  Semua tempat menjadi tumpuan dan amat sesak dengan manusia.  Namun, insya Allah, setiap tetamu Allah ada tempatnya.

Kami mengisi masa di sana dengan melakukan ibadat kepada Allah.  Aku dan suami memohon kepada Allah agar diberikan kesihatan yang baik serta keupayaan untuk melakukan ibadat sepertimana yang kami rancang.  Setiap hari, kami bangun lebih kurang jam 2 - 2.30 pagi.  Walaupun bunyinya seperti awal pagi tetapi suasana di sekitar Masjidil Haram, subhanaAllah.  Manusia seperti ombak laut berjalan menuju ke masjid.  Dan aku amat terharu bila mengetahui sebahagian daripada jemaah terpaksa berjalan kaki melebihi 2km semata-mata untuk menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram.  Ya Allah, betapa besarnya nikmat yang kau kurniakan untuk aku dan suami.  Perjalanan kami tidak sampai pun 5 minit untuk ke masjid.

Tapi sesungguhnya Allah Maha Kaya.  Dia memberikan nikmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.  Setengah individu mendapat nikmat dalam kepayahan.  Aku teringat cerita seorang jemaah tantang seorang Mak Cik.  Oleh kerana mengikut muasasah, tempat tinggalnya agak jauh.  Dia datang ke masjid daripada waktu Zohor sehinggalah waktu Subuh keesokan harinya.  Ertinya, setiap hari dia hanya pulang ke biliknya selepas Subuh dan datang kembali untuk jemaah Zohor.  Subhana Allah.  Satu hari, sedang Mak Cik ini beriktikaf pada waktu tengah malam, dia dipanggil oleh pekerja yang hendak mencuci di dalam Kaabah untuk masuk ke dalam Kaabah dan menunaikan solat.  Allahu Akbar.  Rezeki kurniaan Allah untuk Mak Cik tu...orang terpilih saja yang dapat keistimewaan sedemikian. 

Pemerhatian yang tidak menyenangkan tentang sifat umat Islam.  Aku kagum melihat usaha kerajaan Saudi menjaga kebersihan masjid dan kawasan sekitarnya.  Namun ternyata dengan umat yang berjuta-juta, peranan individu yang akan menentukan kesan akhir.  Proses menyapu sampah dan membersihkan jalan serta kaki lima masjid berjalan tanpa henti.  Tong sampah disediakan di segenap penjuru...semuanya besar-besar belaka.  Namun, sampah di atas jalanraya sehingga ke perkarangan masjid berselerakan di sini sana.  Ya Allah, walaupun Islam  mengajar umatnya menjadi bersih tetapi di tanah suci ini amalan membuang sampah merata-rata tetap menjadi kebiasaan.

Sepanjang berada di sana, kami mengisi masa dengan melakukan apa yang dianjurkan oleh ustaz yang mengendalikan kursus haji - solat sunat taubat, hajat dan memperbanyakkan membaca al-quran.  Suami aku siang-siang lagi sudah mengingatkan aku kita kat sini untuk beribadat.  Bukan untuk membeli-belah.  Nak beli makanan macam biskut, kacang, minuman boleh.  Yang lain-lain, tunggu sehingga selesai kerja haji.  Dan alhamdulillah, rutin kami di sana sehingga selesai kerja haji adalah masjid dan hotel sahaja.  Kalau adapun ke kedai sekadar mendapatkan makanan ringan dan ubat-ubatan.  Setiap hari sebelum menunaikan haji, kami akan ke masjid untuk waktu Subuh, kemudiannya pulang untuk sarapan dan tidur seketika.  Jam 11 kami ke masjid lagi. 

No comments:

Post a Comment